Senyum

Senyum
Senyum Itu Indah

Sunday, 27 June 2010

It's Complicated

Hidup ini memang ibarat putaran bumi yang sentiasa mengelilingi matahari mengikut orbitnya.
Peralihan siang dan malam, peralihan musim-musim hingga ia sentiasa berulang-ulang.
Tapi kita tak pernah rasa jemu dengan putaran itu.
Cuma, kita akan rasa nasib kurang menyebelahi kita bila saat sukar bertandan.
Bila kita ada di atas, rasa senang dan masalah kurang menyelubungi diri, kita boleh terleka.
Lupa dengan sahabat bahagia, iaitu berduka.
Hargailah setiap masa bahagia yang ada dan jadi pengajaran bagi setiap detik yang kamu lalui ketika berduka.

Oleh itu, jadikanlah sebagai peringatan buat kamu.
Hargai insan-insan yang ada disekeliling kamu.
Mungkin apa yang kamu telah lakukan itu, menyakiti hati insan tersebut.
Bila kita berada di tempat yang berbeza, kita akan kenal insan-insan baru.
Dan setiap tempat, sahabat-sahabat kita adalah berbeza.
Namun, bagi kamu yang punya hati pada insan teristimewa, jangan cepat terleka.
Mungkin kamu boleh menyembunyikan apa yang berlaku.
Tapi kamu tidak boleh menyeksa hati insan tersebut.
Dia setia, dia sayang pada kamu, dia sanggup menunggu kamu.
Tapi kamu bunuh hati dia.
Mungkin kamu boleh berbangga kerana dia sanggup menolak insan lain demi kamu walaupun hubungan antara kamu belum terikat kuat.
Tapi ingatlah, dia juga boleh berbangga.
Berbangga kerana dapat melupakan kamu yang kejam.
Dapat membuang kaamu jauh dari hidup dia.
Dan berbangga kerana dapat insan yang lebih menghargai dan menyayangi dia.

Bagi dia yang terseksa, tabahkanlah hati.
Lupakan masa yang menyeksakan dan jadikan pengajaran.
Jangan jadi terlalu baik hingga kamu dihinjak-hinjak kejam.
Percayalah, ada insan yang lebih menghargai kamu.
Ini khas untuk sahabatku.

Apa yang berlaku dalam hidup ini umpama karma.
Dan ia juga boleh berlaku lagi.
Sejarah mungkin berulang lagi.
Tetapkan hati untuk memilih yang terbaik.
Andai dia tidak menyambut cinta kamu, lepaskan dia.
Sambut dan jemputlah cinta yang telah sedia menunggu di pintu hatimu.
Sesungguhnya dia tetap teguh menunggu cinta dari kamu.
Balaslah cinta dia dengan sebaik mungkin.

Kadang-kala, kita tidak mengetahui apa yang tersembunyi.
Cinta itu sangat unik.
Yang jauh di mata tidak semestinya cinta kita.
Dan yang dekat juga tidak semestinya cinta kita.
Nantilah dengan sabar, dia akan datang jua.
Hanya berdoa agar segalanya dipermudahkan.
Ini khas untuk aku...
>_*



~sMiLe LiKe sUnSHiNe~

Monday, 14 June 2010

Tak Mampu Lagi


Apakah yang membuatkan kita rasa tak mampu?
Diri tak cukup kacak untuk memikat si jelita membuatkan anda rasa tak mampu berusaha?
Atau mungkin diri bukan dalam kalangan jutawan?
Andaian lain mungkin ada tembok seteguh Tembok Besar China yang menghalang kita untuk mencapai sesuatu.
Ada satu soalan yang kadang kala kita biasa dengar, khusus pada pasangan yang dah lama bercinta.
Soalannya ialah, "Bila nak bertunang?" atau mungkin "Bila nak berumahtangga"
Dan jawapan yang tak asing lagi ialah "Belum cukup bajet, tak mampu nak kawin lagi"
Bagi yang hanya buat kenduri kecil-kecilan sahaja untuk majlis perkahwinan mungkin juga kerana tak cukup bajet, tak mampu buat majlis secara besar-besaran.

Apa sahaja halangan yang membuatkan kita rasa tidak mampu itu menyebabkan kita rasa berputus asa.
Hanya simpan sahaja anganan tersebut, seperti mimpi.
Tidak semua orang boleh lari dari masalah atau halangan.
Tapi cuma dengan usaha dan doa, halangan itu boleh di atasi dengan sebaik mungkin.

Sebagai manusia, kita punya perasaan.
Perasaan dan naluri setiap manusia yang telah diciptakan oleh Pencipta.
Dan apabila sampai masanya untuk kita rasa sayang dan rindu pada orang yang baru dalam hidup kita, kita akan menghadapi suatu situasi.
Tidak semua orang boleh berterus-terang apa yang dia rasa pada orang lain.
Mungkin jalan yang bijak adalah dengan berdiam diri sahaja.
Tiap-tiap hari berbalas surat, selalu ber-sms, menelefon atau mungkin kerap berjumpa tidak semestinya ia mampu merungkai apa yang dirasa.
Seseorang itu mungkin terpaksa untuk berpura tidak merindui atau berpura tidak mempunyai apa-apa perasaan pada insan tersebut kerana dia tahu insan itu tak rasa apa yang dia rasa.
Sesuatu yang amat sukar ditangani jika tiada kekuatan untuk meneruskan lakonan.
Kita mungkin boleh berbohong pada orang lain tapi kita tak boleh menipu diri sendiri dan kebenaran yang ada.
Bila orang lain tanya mengenai perasaan kamu terhadap si dia, dengan yakin sambil menarik nafas yang dalam-dalam, kamu jawab, "Aku tak ada apa-apa perasaan pun pada dia, apa yang aku luahkan pada dia tu dah lepas. Lagipun dia tak ada bagi apa-apa respon."
Dengan mimik muka yang sesuai untuk menunjukkan maksud 'tidak' telah menyakinkan si rakan yang bertanya.
Tapi, dalam hati, siapa yang tahu.

Di hadapan orang lain, kita boleh melabelkan diri ini sebagai seorang pelakon yang hebat sebab tiada siapa yang tahu apa yang kamu rasa sebenarnya.
Tapi, bila kamu bersendirian, kamu seperti anak kecil.
Menangis teresak-esak sebab terlalu rindu pada si dia dan hati kamu memberontak untuk memberitahu pada dia.
Namun, bila kamu mula berfikir jawapan yang akan kamu terima daripada si dia, itu yang membuatkan kamu terus berpura-pura.
"Apa yang awak cakap ni?"
"Saya dah anggap awak macam kawan baik saya"
Atau mungkin...
"Saya dah anggap awak macam ADIK saya"
Waw!!! Agak sadis di situ ya

Bila kamu berseorangan, tangan kamu dengan pantas akan menekan punat-punat di handphone.
Kamu akan melihat gambar-gambar si dia yang kamu simpan di dalam satu folder khas.
Masa itulah kamu akan tersenyum seorang diri seperti insan-insan istimewa yang menghuni di Rumah Bahagia.
Adakalanya kamu boleh menitiskan air mata bila menatap wajah insan pujaan hati.
Itulah tanda bahawa kamu tidak mampu lagi menanggung rindu yang sarat di hati.
Bagi sesiapa yang mengalami situasi seperti ini, hanya satu sahaja penawarnya.
Tapi ini hanya penawar bagi kamu yang tidak merindui pujaan hati yang dah berkahwin atau pujaan hati yang tak mengenali kamu seperti artis atau pemain bola sepak terkenal dunia.
Penawarnya ialah kamu beritahu sahaja apa yang kamu rasa pada insan tersebut.
Abaikan jawapan yang bakal muncul dari mulut dia atau mungkin dari mimik muka dia.
Apa yang penting adalah kamu lepaskan apa yang kamu tanggung.
Jawapan mungkin positif dan mungkin negatif.
Jika jawapan adalah positif, tahniah untuk kamu.
Tapi jika jawapan adalah negatif, tidak mengapa.
Mungkin dia bukan diciptakan untuk kamu.
Berusaha untuk lepaskan dia dan teruskan hidup kamu.
Mungkin ada insan yang sedang menunggu kamu menjadi teman hidupnya.

"SEMOGA BAHAGIA"

~sMiLe LiKe sUnSHiNe~

Thursday, 3 June 2010

23 Jun 2007

Tiada kata selembut sutera yang tak mampu membuatkan hati ini terpana seketika. Tiada kasih sejernih hati yang tak mampu menghilangkan kemarau cinta. Apa yang berlalu tetap akan berlalu. Yang terukir hanyalah kenangan. Ia tetap kenangan, walaupun hanya setitik memori pernah tercipta tapi ia kekal di dalam ingatan.

Persis sebuah jam lama yang tergantung di sudut dinding yeng tersorok, aku tetap menghitung anak-anak masa. Hanya tinggal beberapa ketika sahaja kenangan itu pernah tertulis di dalam kamar memori. Sungguh manis dikenang tapi amat pahit untuk ditelan. Namun, itulah hakikatnya. Walaupun luka tak mungkin berdarah kembali, tapi parut tetap tampak jelas.

Tiga tahun yang lalu, aku ada di situ. Dan di situ juga dua tahun yang lalu semuanya musnah. Aku hanya mampu melihat debu-debu janji yang pernah dirantai rapi terkulai dan berterbangan di udara di tiup sang ribut. Dan kini, aku masih menagih janji yang tak mungkin aku gapai. Umpama aku menggenggam sang udara di hadapan mata.

Apa yang telah terjadi amat melukakan seumur hidup. Tiada guna merayu kerana aku ibarat pengemis. Dahulu, akulah puteri yang pernah kau puja, akulah yang selalu dimanjai. Tapi, kini aku mengemis di pintu istana mu. Sakitku kau tak akan tahu.

Apa yang ada disekelilingku sering kali mengamit memori. Tiada satu berita yang kau kiringkan untuk diriku. Sungguh aku telah kau bunga jauh, sangat jauh hingga tak mampu kelihatan lagi di dalam sudut memori mu. Gelarkanlah aku seorang yang bodoh, bodoh kerana masih biarkan potretmu tergantung di dinding hati sedangkan kau telah berjaya membina istana bahagia dengan air mataku.

Tembok ketabahan pernah aku bina, berjuta askar kesabaran aku juangkan. Namun, bila satu utusan memori dahulu meniup persis sang bayu, semuanya luluh terkulai. Ibarat racun yang mampu merosakkan semua fungsi saraf. Aku hanya berpura berani untuk tempuh semua kenangan, itulah yang pasti.

Kini, aku perlu bangun dari kenangan itu. Tidak adil dan kejam jika aku terus begini dan melukakan insan yang bakal setia di hati. Walaupun kisah antara kita telah lama berlalu, tepi ia ibarat sumpahan kepada diri ini yang sehingga kini gagal percaya pada cinta manusia. Parut tetap berbekas, sakit masih menangis, hati masih lagi kemarau.

Hanya senyuman aku kirimkan untuk kebahagiaan kamu bersama dengan dia yang telah kau pilih. Jadilah seorang insan yang tahu menghargai dan tidak mengharap untuk dihargai. Apa yang aku harapkan adalah kita tak akan bersua walaupun sesaat. Hanya itu permintaan terakhirku.

Kini, sinar mentari masih lagi setia menerangi hari-hariku walaupun hujan telah menimpa bumi hatiku yang kekeringan kerana perbuatanmu. Aku masih lagi boleh berlari mengejar pelangi walaupun aku pernah jatuh tersungkur kerana jerat cintamu. Aku masih mampu menghadapi segalanya tanpa kamu di sisi. Aku lebih tenang begini dari terus mengejar bayang-bayang kenangan lalu yang kau pernah lakarkan. Dan aku sangat bahagia, bahagia kerana aku masih lagi kuat untuk melupakan kamu, terus hilang dalam ingatan. Sekali lagi, aku sangat bahagia.