Senyum

Senyum
Senyum Itu Indah

Thursday, 3 June 2010

23 Jun 2007

Tiada kata selembut sutera yang tak mampu membuatkan hati ini terpana seketika. Tiada kasih sejernih hati yang tak mampu menghilangkan kemarau cinta. Apa yang berlalu tetap akan berlalu. Yang terukir hanyalah kenangan. Ia tetap kenangan, walaupun hanya setitik memori pernah tercipta tapi ia kekal di dalam ingatan.

Persis sebuah jam lama yang tergantung di sudut dinding yeng tersorok, aku tetap menghitung anak-anak masa. Hanya tinggal beberapa ketika sahaja kenangan itu pernah tertulis di dalam kamar memori. Sungguh manis dikenang tapi amat pahit untuk ditelan. Namun, itulah hakikatnya. Walaupun luka tak mungkin berdarah kembali, tapi parut tetap tampak jelas.

Tiga tahun yang lalu, aku ada di situ. Dan di situ juga dua tahun yang lalu semuanya musnah. Aku hanya mampu melihat debu-debu janji yang pernah dirantai rapi terkulai dan berterbangan di udara di tiup sang ribut. Dan kini, aku masih menagih janji yang tak mungkin aku gapai. Umpama aku menggenggam sang udara di hadapan mata.

Apa yang telah terjadi amat melukakan seumur hidup. Tiada guna merayu kerana aku ibarat pengemis. Dahulu, akulah puteri yang pernah kau puja, akulah yang selalu dimanjai. Tapi, kini aku mengemis di pintu istana mu. Sakitku kau tak akan tahu.

Apa yang ada disekelilingku sering kali mengamit memori. Tiada satu berita yang kau kiringkan untuk diriku. Sungguh aku telah kau bunga jauh, sangat jauh hingga tak mampu kelihatan lagi di dalam sudut memori mu. Gelarkanlah aku seorang yang bodoh, bodoh kerana masih biarkan potretmu tergantung di dinding hati sedangkan kau telah berjaya membina istana bahagia dengan air mataku.

Tembok ketabahan pernah aku bina, berjuta askar kesabaran aku juangkan. Namun, bila satu utusan memori dahulu meniup persis sang bayu, semuanya luluh terkulai. Ibarat racun yang mampu merosakkan semua fungsi saraf. Aku hanya berpura berani untuk tempuh semua kenangan, itulah yang pasti.

Kini, aku perlu bangun dari kenangan itu. Tidak adil dan kejam jika aku terus begini dan melukakan insan yang bakal setia di hati. Walaupun kisah antara kita telah lama berlalu, tepi ia ibarat sumpahan kepada diri ini yang sehingga kini gagal percaya pada cinta manusia. Parut tetap berbekas, sakit masih menangis, hati masih lagi kemarau.

Hanya senyuman aku kirimkan untuk kebahagiaan kamu bersama dengan dia yang telah kau pilih. Jadilah seorang insan yang tahu menghargai dan tidak mengharap untuk dihargai. Apa yang aku harapkan adalah kita tak akan bersua walaupun sesaat. Hanya itu permintaan terakhirku.

Kini, sinar mentari masih lagi setia menerangi hari-hariku walaupun hujan telah menimpa bumi hatiku yang kekeringan kerana perbuatanmu. Aku masih lagi boleh berlari mengejar pelangi walaupun aku pernah jatuh tersungkur kerana jerat cintamu. Aku masih mampu menghadapi segalanya tanpa kamu di sisi. Aku lebih tenang begini dari terus mengejar bayang-bayang kenangan lalu yang kau pernah lakarkan. Dan aku sangat bahagia, bahagia kerana aku masih lagi kuat untuk melupakan kamu, terus hilang dalam ingatan. Sekali lagi, aku sangat bahagia.

No comments: