Senyum
Friday, 15 October 2010
Life Like This
Inilah kehidupan yang aku lalui sejak dua tahun yang lalu. Bukan memaksa diri untuk memilih jalan ini, tapi ia seperti hujan yang turun dan aku perlu menempuhi keadaan seperti ini. Banyak perkara yang jadi nota-nota peringatan untuk masa hadapan.
Nota 1 :
Jadilah pelajar yang selalu buat tugasan dengan segera bila pensyarah bagi tugasan. Tak kiralah tugasan tu secara individu ataupun berkumpulan. Kalau individu, terpulang pada kita nak buat bila dan macam mana sekali pun yang penting tugasan siap walaupun dibuat pada saat-saat akhir (statement jujur). Kalau tugasan itu adalah berkumpulan, anda perlu berbincang dengan segera dengan rakan-rakan anda bila mahu mula menyiapkan tugasan. Jangan lupa jumpa dengan pensyarah dulu bagi memastikan isi kandungan tugasan tidak lari daripada tajuk, ya. Yang paling penting, sentiasa ingat pada insan yang menjadi 'editor' kerana dia akan mengalami tekanan jiwa bila anda lewat memberi tugasan kepada beliau. Kalau tugasan anda itu baik dan tak perlu disunting lagi, anda telah memudahkan kerja-kerja beliau. Tapi sebaiknya anda perlu menyiapkan tugasan dengan lebih awal sebelum editor anda menjadi tidak siuman.
Nota 2 :
Pastikan anda tidak melibatkan diri dengan banyak program-program atau jawatan-jawatan yang sedia ada di universiti anda. Dahulukan perkara yang datang pada anda. Hal ini adalah kerana takut mulut anda akan lantang mengeluh dan membebel berjela-jela kerana program-program diadakan berterusan atau bertindan-tindan (padan muka diri sendiri, insaf sudah). Anda hendaklah mengatur masa dengan sebaik mungkin supaya anda punya lebih masa untuk menyiapkan tugasan atau pembentangan (diri sendiri kena lagi).
Nota 3 :
Perkara yang biasa berlaku apabila telah masuk bulan ketiga dalam semester. Peringatan penting adalah, anda kena pandai berjimat. Duit yang diterima hanyalah pinjaman dan cukup-cukup makan sahaja. Lainlah kalau penjaga anda adalah seorang pengusaha kilang membuat duit. Jimat, jimat dan jimat. Perkara yang biasa akan berlaku pada pertengahan hingga akhir semester adalah barang keperluan dah nak habis, kasut rosak, beg rosak dan paling membanggakan bila anda terpaksa membayar saman kerana pakai selipar ke kuliah sebab dah tak ada duit nak beli kasut baru. Anda tidak digalakkan membeli barangan yang bukan merupakan keperluan yang penting dan buangkan hasrat anda jauh-jauh jika mahu makan di Secret Recipe pada setiap minggu kerana sudah jemu makan nasi di rumah. Walaupun wang bukan boleh dibawa mata, tapi tanpa wang anda mungkin boleh mati.
Nota 4 :
Sentiasa ambil tahu tentang rakan-rakan anda terutamanya penghuni-penghuni serumah dengan anda. Walaupun anda jarang berada di rumah dan menganggap rumah sewa anda adalah rumah kedua dan rumah pertama adalah di kampus atau tempat-tempat lain, anda harus tahu apa yang berlaku di dalam rumah sewa anda. Hal ini kerana jika anda tidak peduli dengan apa yang berlaku, anda mungkin akan dianggap sebagai seorang yang sombong. Ke'blur'an akan berlaku kepada anda semasa sesi beramah mesra sambil menonton tv di rumah kerana anda tidak tahu nama rakan rumah yang duduk di sebelah anda. Selain itu, anda juga perlu memaklumkan kepada penghuni rumah jika anda mahu keluar rumah. Ini bagi memastikan keselamatan anda terjamin jima perkara yang tidak diingini berkalu kepada anda. Buat pengumuman kepada ahli rumah dengan siapakah anda keluar dan ke manakah denstinasi yang ingin ditujui. Pastikan juga anda mengetahui cara-cara untuk tidak membuat penghuni lain mengutuk anda. Oleh kerana anda menyewa rumah bersama-sama rakan-rakan yang lain, tidaklah perlu anda membuat rumah tersebut seperti rumah keluarga anda di kampung halaman yang indah dan permai. Ini akan mendatangkan masalah jika anda suka-suka hati tidak menjaga kebersihan rumah dan ketenteraman rumah bersama. Silap-silap hari bulan barang-barang anda akan dilempar ke luar pagar dan anda tidak dibenarkan menyewa lagi. (Wah, sadisnya!)
Nota 5 :
Berkawanlah dengan sesiapa sahaja yang anda suka, tapi anda perlu tahu dengan siapakah anda berkawan. Anda juga perlu tahu dengan siapakah kawan baik anda berkawan. Kawan yang baik akan sentiasa membantu anda dan berkongsi masalah anda bersama. Walaupun anda tidak dapat membantu kawan anda dari segi kewangan kerana anda juga mengalami masalah kepokaian yang teramat sangat, anda juga boleh bantu kawan anda dari segi bantuan yang lain. Saling mengingati kawan anda untuk tidak sama-sama tamak menghabiskan wang pinjaman PTPTN. Sentiasa beri sokongan kepada rakan anda jika dia menghadapi masalah. Tidak mengapa jika dia terlupa anda pernah menolong dia membayar air minuman di pesta konvo selagi dia tidak mengungkit anda adalah seorang kawan yang kedekut. Bantulah sahabat anda selagi termampu. Buatlah rangkaian kawan yang lebar sebab anda akan sentiasa gembira kerana punya teman yang ramai. Anggap sahaja anda tidak akan mati jika tiada kawan tapi kawan akan mati jika tiada anda di sisinya.
Nota 6 :
Jangan sesekali anda berhasrat untuk ponteng kuliah walaupun sekali jika tanpa alasan yang kukuh. Jelas menyatakan bahawa semestinya anda akan merasa malas untuk menyalin nota dari kawan-kawan ada kerana tulisan mereka seperti tulisan doktor pakar lebih-lebih lagi jika nota tersebut adalah nota daripada pensyarah yang beri kuliah selaju 100km/j. Anda juga akan malu jika anda tersilap maklumat terkini kerana anda ponteng kuliah. Moral of the story, jangan kata kawan anda teruk sebab tidak beritahu kepada anda sedangkan anda sendiri yang ponteng kuliah sesuka hati anda. Ingatlah, sesungguhnya adalah lebih baik anda terlewat tahu daripada anda tidak tahu langsung dan malu sendiri.
Nota 7 :
Ini berkaitan dengan perkara sensitif. Anda tidak dilarang untuk bercinta, tapi anda hendaklah bercinta secara berpada-pada. Jangan kerana cinta itu nanti anda akan mendapat masalah yang banyak. Tahniah kepada pasangan yang selalu memberi sokongan kepada pasangan anda. Saling mengingati dan bantu-membantu adalah penting. Namun janganlah kerana anda, pasangan anda tidak dapat menumpukan perhatian atau menyiapkan tugasan yang diberi. Tak mati jika anda tidak mengutuskan sms kepada buah hati anda dalam masa 1 jam. Masa depan terletak pada diri masing-masing, pasangan hanya dapat memberikan sokongan, tidak dapat membantu menjawab soalan peperiksaan.
Nota 8 :
Perkara yang paling penting. Jangan sesekali anda meninggalkan solat tanpa alasan yang munasabah. Sentiasalah solat kerana solat adalah tiang agama. Walaupun solat itu tidak perlu ditunjukkan kepada orang lain dan ia adalah antara kita dengan Tuhan, tapi ia amat-amatlah wajib. Selalulah berdoa kepada Tuhan supaya segala urusan dipermudahkan. Satu perkara yang paling penting juga adalah jangan lupa untuk selalu menelefon ibu bapa anda. Kegelisahan ibu bapa akan membuatkan kita tidak senang hati dan tidak diredhai. Jika anda menghadapi masalah, segeralah anda telefon ibu bapa anda, nescaya masalah anda akan dipermudahkan oleh ALLAH (perkara ini betul-betul berlaku). Ingatlah, walaupun anda tidak sekacak atau secantik mana, namun jika iman penih di dada, hidup akan mudah dirahmati dan ia akan menjadi idaman setiap pasangan anda. Amin...
Nota 9 :
Sentiasa tanamkan perasaan hormat kepada orang lain tidak kira sama ada pada orang yang lebih muda daripada anda ataupun sebaya anda. Namun, jangan sesekali anda tunduk pada orang yang selalu memijak-mijak anda sehingga dia menganggap anda adalah seorang yang bodoh dan lurus. Hal ini kerana ia akan mengajar anda untuk berubah menjadi orang yang lebih zalim daripada beliau sehingga beliau akan takut kepada anda.
Kepada rakan-rakan sekalian, terima kasih kerana menerima saya seadanya. Jika terdapat silap dan salah, harap dimaafkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment