Senyum

Senyum
Senyum Itu Indah

Monday, 18 January 2010

Mungkin Aku Yang Baru

Pagi-pagi bangun macam malas
Bila tengok cermin, aku pandang wajah manusia ini
Tak tahu apa yang buatkan dia tabah
Atau dia sebenarnya lemah
Atau dia juga sedang melarikan diri dari masalah
Tak tahu mahu beri bintang kesian
Atau bintang tahniah

Mungkin ada yang kata manusia ini bodoh
Sebab tak tahu apa yang dia sendiri rasa
Agak menyemakkan fikiran bila fikirkan manusia ini
Tidak tetap pendirian
Tidak mahu terima kenyataan

Tapi siapa yang tahu segalanya
Mungkin cermin hanya bantuan sementara
Ia hanya bayangan
Namun, cuba teliti hatinya
Selami hidupnya
Dan kau akan tahu apa manusia ini rasa

Cuba berdiri melihat layar cerita hidupnya
Kau akan faham
Mungkin kau kata dia lemah
Tapi dia punya gunung hati yang teguh
Banjir kilat dia, kau tak akan dapat melihat
Walau setitik air banjir itu
Mustahil bagi orang-orang yang tidak percaya

Kini teguh itu jadi kekuatan
Bila pohon yang jadi tempat untuk berteduh sudah mati kekeringan
Dek kemarau hati yang tak pasti
Manusia itu tidak lagi berharap pada daun-daun
Atau pada buah-buahan yang ranum
Dari pohon yang mengelirukan dia

Kini, dia bangkit kembali
Menjadi seorang manusia yang baru
Seorang yang tidak lagi akan memperbodohkan diri sendiri
Atau berharap pada pohon yang semakin meninggi
Manusia baru itu perlu merdeka
Jauh dari perasaan yang palsu
Dia seorang yang baru
Jangan kau berani menghancurkannya lagi
Kerana dia sudah buang kamu
Jangan berharap pada dia lagi
Kerana kamu sudah tiada dalam hidupnya lagi
Hanya persinggahan yang sementara


by :
anne alone all along

Terus Begini

Mungkin tiada yang pasti apa yang akan terjadi
Segala rancangan direka oleh manusia
Tapi bukan manusia yang akan tetapkan ia sebagai suatu kejadian
Andai diizinkan oleh-NYA, ia akan tetap terjadi
Tapi bagi aku, biarkan ia terus begini
Bukan aku tidak mahu merancang
Tapi aku takut apa yang dirancang, akan tersasar
Kita tidak boleh menduga angin yang akan bertiup
Mungkin ribut yang mengejutkan akan datang
Atau mungkin kemarau yang akan terus dengan sifatnya

Risiko?
Suatu timbalbalas yang nyata
Berjuta keputusan dan tindakan aku telah berdepan
Aku akan kaku terdiam dahulu
Membayangkan risiko yang bakal aku hadapi
Mungkin ia senang seperti membaca A B C
Atau ia sukar seperti subjek Matematik Tingkatan 6
Fikir sejenak

Apa yang pasti, aku akan tetap begini
Haruskah aku mengubah apa yang telah aku lakukan hingga kini?
Haruskah aku lepaskan apa yang telah aku genggam?
Haruskah aku menafikan kenyataan yang pasti?
Haruskah aku?

Aku hanya akan mengubah
Jika Luh Mahfuz telah mengukirnya sebegitu
Aku akan tetap dengan pendirian aku
Tak mahu jadi seperti kacang lupakan kulit
Atau seperti anjing dangan bayang-bayang
Atau seperti hangat-hangat tahi ayam
Atau seperti tegak seroman-roman duduk serupa-rupa
Itu yang perlu aku tinggalkan

Pada dia yang ingin mempertikaikan apa yang ada pada aku
Teruskan begitu
Aku memerlukan sesuatu untuk aku memuhasabahkan diri
Aku memerlukan sesuatu untuk aku tingkatkan prestasi
Mungkin dari lakaran bahasa mu boleh memberi aku keteguhan
Mencari kepastian yang aku inginkan
Meneliti setiap langkah ku
Kerana engkau adalah cermin kepada segala tindakan aku
Tapi
Aku tidak bodoh untuk terima segala cat hitam itu
Itu yang kau perlu tahu



by :
anne alone all along

Friday, 15 January 2010

Hanya Dia Yang Tahu



Mungkin hari ini kita dapat melihat suatu keajaiban yang jarang kita lihat saban tahun apatah lagi saban hari. Gerhana matahari separa yang berlaku hari ini adalah kejadian yang telah ditetapkan oleh-NYA. Tiada apa yang berbeza bagi aku. Hari yang dilalui sama seperti hari-hari yang lalu, tetap sepi. Ruang masa aku hari ini tidak dituangkan dengan masa berkuliah. Aku sengaja menyusun jadual agar aku tidak ada satu pun kuliah pada hari Jumaat. Mungkin ada yang menganggap aku lakukan semua ini hanya kerana aku mahu pulang ke ganggang bertemu dengan ayah dan bonda. Atau mungkin ada yang berkata aku mahu luangkan masa bersama dengan yang tersayang. Frasa bertemu dengan ayah bonda adalah betul bagi aku. Tapi aku tidak mengharapkan aku akan pulang ke pangkuan mereka pada setiap hujung minggu. Bagi aku, aku perlukan ruang untuk diri aku sendir, dan bukan ruang untuk bermadu kasih bersama si dia yang aku tidak tahu siapa orangnya.

Kehidupan sebagai seorang pelajar adalah mencabar lebih-lebih lagi yang sedang menuntut di menara gading. Syukur ku kepada yang Maha Esa kerana mengukir hidup ku ini. Aku tidak minta untuk sentiasa ada waktu untuk diri sendiri, tapi cukuplah sekadar aku dapat memuhasabahkan diri yang penuh dengan dosa ini. Sebagai seorang perempuan, aku punya perasaan yang sukar untuk ditafsirkan. Maaf ku mohon pada sahabat-sahabat ku yang tidak dapat melayan kerenah aku yang sering bertukar arah. Bila ku tenung dalam-dalam, aku sendiri tidak tahu siapa diri ku yang sebenar. Aku sendiri tidak faham dengan kerenah aku, apatah lagi dengan perasaan aku.

Hari ini Sahabat sekali lagi bertanya pada aku. Aku masih tersenyum lagi mendengar soalan dari Sahabat itu. Aku sendiri tidak tahu apakah jawapan yang harus aku berikan padanya. Aku mengambil masa untuk memikirkan jawapan yang sesuai. Aku menyelami dasar hati aku sendiri yang aku tidak tahu kedalamannya. Ringkas jawapan aku pada Sahabat.
"Tak tahu kenapa masih lagi bertahan. Tak tahu mengapa masih lagi menunggu. Semuanya sebab soal hati,"
Itu sahaja ungkapan yang mampu aku muntahkan. Soalan dari Sahabat membuatkan aku berfikir, mencari jawapan di sebalik berjuta-juta bintang di langit. Membezakan jernih air di tasik yang sama. Aku terdiam...

Suatu yang sukar ditafsirkan adalah soal hati. Mungkin ada yang akan berkata bahawa aku tidak tetap pendirian. Tapi sesungguhnya ia memang sukar bagi aku. Aku bahagia dengan hidup ku sekarang ini. Aku mahu sendiri hingga sampai masanya untuk awan mendungku berlalu. Biarkan aku. Banyak perkara yang berlaku dalam lakaran di hamparan hidup ku hari ini. Tapi aku tetap sepi untuk membiarkannya pergi. Sejuta kekuatan harus aku berikan untuk bertahan.

Tulus aku ingin katakan aku bahagia dengan hidup aku sekarang ini. Jiwa aku hanya dihiasi dengan Dia, ayah bonda dan keluarga, serta sahabat-sahabat yang menemani aku. Tapi jiwa aku kosong untuk teman yang ditafsirkan sebagai kekasih hati. Terima kasih pada-NYA yang menulis catatan hidupku sebegini, ada sejuta hikmah di sebalik semua ini. Andai sememangnya kekasih hati itu sudah berdiri kukuh di sebalik pintu hatiku, ketuklah dengan ikhlas supaya aku percaya untuk membuka lembaran hidup baruku. Aku sudah tidak berdaya untuk berdiri teguh menunggu semua ini. Ya ALLAH... sesungguhnya aku hanya berserah kepada-Mu.


~Sesuatu yang tidak pasti ada di Tangan Tuhanku~


by :
anne alone all along

Kenapa Mesti Mak?

Orang kata aku lahir dari perut mak
(Bukan orang kata, memang betul)
Bila dahaga, yang susukan aku... mak
Bila lapar, yang suapkan aku... mak
Bila keseorangan, yang sentiasa di samping aku... mak
Kata mak, perkataan pertama yang aku sebut... mak
Bila bangun tidur, orang pertama yang aku cari... mak
Bila nangis, orang pertama yang datang... mak
Bila nak bermanja, aku dekati... mak
Bila nak bergesel, aku duduk sebelah... mak
Bila sedih, yang boleh pujuk aku hanya... mak
Bila nakal, yang marah aku... mak
Bila merajuk, yang pujuk aku cuma... mak
Bila buat salah, yang paling cepat marah... mak
Bila takut, yang tenangkan aku... mak
Bila nak peluk, aku suka peluk... mak
Aku selalu teringinkan... mak
Bila sedih, aku mesti telefon... mak
Bila seronok, orang pertama aku nak beritahu... mak
Bila benggang, aku suka luah pada... mak
Bila takut, aku selalu panggil... "Maaakkkk!!!!"
Bila sakit, orang yang paling risau... mak
Bila nak exam, orang yang paling sibuk juga... mak
Bila buat hal, yang marah aku dulu... mak
Bila ada masalah, yang paling risau... mak
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ini... mak
Yang selalu masak makanan kegemaran aku... mak
Kalau balik kampung, yang selalu bekalkan ulam dan lauk pauk... mak
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku... mak
Yang selalu berleter kat aku... mak
Yang selalu puji aku... mak
Yang selalu nasihati aku... mak
Bila nak kawin, orang pertama aku tunjuk dan rujuk... mak

Tapi bila aku ada pasangan hidup sendiri...
Bila seronok, aku cari... pasanganku
Bila sedih, aku cari... mak
Bila berjaya, aku ceritakan pada... pasanganku
Bila gagal, aku ceritakan pada... mak

Bila bahagia, aku peluk erat... pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat... mak
Bila nak cuti, aku bawa... pasanganku
Bila sibuk, aku hantar anak ke rumah... mak
Bila sambut ulangtahun, aku bagi hadiah pada... pasanganku
Bila sambut hari ibu, aku cuma dapat ucapkan "Selamat Hari Ibu"
Selalu aku ingat pada... pasanganku
Selalu aku lupa pada... mak
Bila-bila aku akan telefon... pasanganku
Entah bila aku akan telefon... mak
Selalu aku belikan hadiah untuk... pasanganku
Entah bila aku akan belikan hadiah untuk... mak

Renungkan :
"Kalau kau sudah habis belajar dan bekerja, bolehkah kau kirimkan wang untuk mak? Mak bukan nak banyak, RM50 sebulan pun cukuplah"
Berderai air mata jika kita mendengarnya
Tapi... kalau mak sudah tiada... ... ... ...
"MAKKK !... RINDU MAK! RINDU SANGAT!!!!"

Tuesday, 12 January 2010

Wanna Forget Him

Seorang teman pernah bertanya pada aku
"Betul ke nak terus bersabar?"
Aku hanya senyum
Mungkin aku juga akan pilih jalan yang sama seperti dia
"Selagi boleh bertahan, aku akan tetap bertahan"
Mimik muka kesian terpampang di wajah teman
Aku tahu dia faham aku
Kerana aku pernah berada di tempat dia
Dan dia pernah berada di tempat aku
Tiada apa yang dia berdaya lakukan
Hanya melihat sahaja perkembangan
Aku sepi seketika memikirkan soal itu
Dia tahu

Aku masih terbayang wajah kegembiraan teman
Tika dia menyampaikan suatu berita gembira pada aku
Terima kasih untuk mu teman
Kerana membawa berita gembira yang hanya sementara itu
Aku tahu kau cuba membuatkan aku gembira
Tapi berita itu tidak mampu untuk berdiri kukuh
Walau sekuat mana aku menahan
Ia tetap akan tumbang jua akhirnya
Aku tahu teman itu melihat kesakitan aku
Aku tahu teman itu tidak sanggup membiarkan aku begini
Namun harus ku bertahan
Hingga kata putus diberikan

Sekali lagi aku melihat sesuatu
Sesuatu yang mampu memusnahkan istana hati
Aku lihat ia dengan tiada perasaan
Hanya hujan tangisan menemani
Aku tetap sayu seperti dulu
Terdiam kaku seketika
Hanya satu yang aku luahkan
"Aku akan pergi"

Tekad di hati semakin bulat
Ingin membiarkan cinta Adam dan Hawa bersatu
Aku tahu masih ada lagi bahagia untuk aku
Aku hanya menanti

Kini
Sang putera sedang memikat si hodoh
Haruskah si hodoh menerima lamaran sang putera
Andai putera idaman tidak mengendahkan si hodoh
Perlukah si hodoh menerima sang putera
Tiada yang pasti untuk semua ini
Si hodoh hanya menunggu masa untuk pergi
Sekiranya putera idaman melupakan si hodoh
Si hodoh akan pergi tanpa memandang ke belakang
"Selamat Tinggal"


by :
anne alone all along
ku dipancing oleh si joran
~keliru~