Senyum

Senyum
Senyum Itu Indah

Sunday, 29 November 2009

Untuk Apakah Cinta?

Cinta adalah sesuatu perasaan yang subjektif, sukar untuk dimengertikan apakah maksud sebenar cinta. Aku telah ditujukan dengan soalan :
1. Perlukah cinta?
2. Untuk apakah cinta?

Agak janggal apabila aku diberikan soalan seperti ini. Pada aku, soalan ini tidak perlu dijawab kerana setiap manusia akan berdepan dengan cinta. Setiap manusia mendambakan cinta yang suci dan abadi. Tapi, mampukah kita untuk mengapai cinta itu? Semuanya sudah tertulis dan kita hanya perlu mencarinya. Tuhan sudah pun menentukan siapakah pasangan kita cuma belum tiba masanya lagi untuk kita berjumpa dengan jodoh kita. Cinta mengajar kita untuk lebih menghargai. Dengan cinta juga akan mengajar kita untuk mengasihi dan kita juga akan dikasihi. Manusia boleh buta kerana cinta. Setiap apa yang ingin dilakukan demi cinta akan dilakukan tidak kira ianya bahaya ataupun tidak. Pengorbanan adalah suatu tindakan yang perlu dilakukan demi mendapatkan cinta. Terpulang kepada setiap insan untuk mempercayai cinta atau pun tidak.

Kekecewaan adalah salah satu sebab yang menjadi tembok penghalang kepada kita untuk mempercayai cinta. Setiap manusia juga akan mengalami kekecewaan, sama seperti aku. Kecewa dalam percintaan adalah suatu yang memeritkan. Telah banyak kali aku kecewa dalam percintaan. Apakah kerana aku tidak tahu bagaimana caranya untuk bercinta? Sepanjang hidup ini, tidak pernah sekali pun aku menyambut ulang tahun percintaan aku. Mungkin ada yang tidak percaya tapi inilah kenyataannya. Yang aku tahu, hanya satu percintaan sahaja yang akan aku sambut pada setiap hari iaitu Cinta kepada Allah swt. Hanya kepada-Nya aku berserah. Hanya Dia yang tahu apa yang telah aku alami sepanjang hidup ini. Suatu percintaan yang aku harapkan dahulu musnah apabila orang yang dikasihi telah bernikah dengan orang lain. Betapa hancurnya hati ini, terasa diragut, terasa direntap dengan tanpa belas kasihan. Janji hanya tinggal janji. Tiada suatu pun yang aku percaya lagi perkataan yang keluar dari mulut seorang lelaki. Aku paksa hati ini untuk percaya, namun akhirnya aku sendiri tahu apa yang akan terjadi. Salahkah aku? Perlukah cinta dan sayang?

Aku percaya cinta kerana Allah swt telah pun menyediakan cinta untuk setiap manusia. Terpulang pada setiap manusia untuk mentafsirkannya. Aku cintakan sepi kerana hanya dia yang sudi menemani aku. Hanya dia sahaja yang mengerti apa yang aku alami, apa yang aku rasa, apa yang aku sayang dan apa yang ada dalam hati ini. Aku sayang dia. Tapi dia menidakkan cinta. Apakah aku harus lupakan dia atau terus mengejar cintanya? Suatu keperitan apabila cinta hati yang ikhlas tidak dihargai. Apakah aku harus lupakan dia dan terima sahaja cinta daripada insan yang tidak aku sayang? Perlukah aku berbohong pada cinta? Hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Aku akan terus bersabar sehinggakan tiba masanya untuk sabar aku mati. Bak kata sahabat aku, Iqa, "Sabar itu manis rasanya". Ya, memang manis, manis semanis madu. Namun, sepahit hempedu jika ditelan sekiranya segala cinta yang dihulurkan dicampak jauh ketepi. Hangus hati bak dipanggang dengan api. Air mata darah yang akan menjadi teman sepanjang tidur.

"Ya Allah Ya Tuhan ku, sesungguhnya aku bersyukur dengan cinta yang telah Engkau berikan kepada aku. Hanya Engkau sahaja yang tahu siapa yang aku sayang. Segeralah Engkau jauhkan dia dari aku jika kasihnya bukan untuk ku dan cinta ku bukan untuknya,"

Saturday, 28 November 2009

RAYA AIDIL ADHA

Sesuatu yang paling mengembirakan hati adalah apabila kita mengorbankan sesuatu yang akhirnya kita juga akan mendapat ganjarannya. Tapi, mampukah kita untuk mengorbankan sesuatu yang paling kita sayangi? Tentunya sukar untuk kita lepaskannya. Sesuatu yang kita sayangi ibarat ia adalah sebahagian daripada diri kita. Namun, pengorbanan harus dilakukan seperti mana yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. Baginda mengorbankan anaknya demi patuh kepada suruhan Allah swt. Tapi, kita? Apa yang telah kita korbankan demi Dia?

Alhamdulillah, majlis korban seekor lembu jantan telah selamat dijalankan. Usai solat Hari Raya Aidil Adha, beberapa orang kampung telah mula bertandan ke rumah. Aku yang sedari pagi sibuk di dapur menolong emak dan kakak menyediakan makanan sememangnya cukup memenatkan. Alhamdulillah, jiran-jiran datang membantu kami. Ayah pula sudah keluar semula pabila pulang ke rumah sesudah solat. Destinasinya adalah ke rumah Pak Imam, menolong melapah lembu. Abang-abang dan adik aku pula sibuk memerhatikan setiap inci-inci badan sang lembu yang akan disembelih oleh Pak Imam. Sayu dihati dan kolam air mata mula terbentuk tatkala telinga dialunkan dengan suara takbir di belakang rumah. Hati sayu bukan dek kesian dengan lembu yang akan disembelih, tapi sayu mendengar alunan takbir. Emak yang sedang mengambil serai di luar rumah juga menitiskan air mata. Sesungguhnya aku syukur dengan apa yang telah diberikan oleh-Nya. Alhamdulillah lembu tersebut tidak mendatangkan sebarang masalah. Alhamdulillah lembu itu sudah selamat disembelih. Aku melihat dari jauh orang-orang di belakang rumah sibuk melapah lembu, memotong, menimbang dan membungkus daging tersebut.

Keriuhan bukan hanya datang daripada jiran tetanggga sahaja, mak cik aku yang dari Segamat juga datang bersama familynya termasuklah 3 orang cucunya. Bak kata ayah, majlis yang berlangsung persis sebuah majlis perkahwinan. Aku hanya tersenyum sahaja. Aku pun tak tahulah siapakah di antara aku dan adik-beradik yang lain yang akan nikah dulu. Keseronokan amat dirasai semasa majlis berlangsung. Sesungguhnya aku tidak dapat melupakan kenangan yang manis ini.

"Ya Allah Ya Tuhan ku, sesungguhnya hamba-Mu ini bersyukur dengan segala kenikmatan yang telah Engkau berikan. Ampunilah hamba-Mu ini serta umat Islam yang lain. Berkatilah hidup kami di dunia dan di akhirat. Segala puji hanyalah untuk-Mu."

Tuesday, 24 November 2009

Impian Hati

Tiada terfikir dek akal kerana akal tidak mempunyai perasaan. Hanya hati yang tahu segala-galanya. Hanya hati yang mampu untuk merungkai segala apa yang telah terukir di setiap perjalanan kisah ini.

Seorang anak kecil memerhatikan apa yang berlaku disekelilingnya. Dia hanya budak perempuan yang tidak mengetahui apakah itu kasih sayang. Yang ada di dalam hatinya hanya keluarga yang sentiasa di sisi. Namun, apabila dia mula menginjak ke alam persekolahan, baru dia tahu. Tapi itu hanyalah sedikit. Manakan mungkin seorang budak yang berumur sekitar 10 tahun tahu apakah makna mengasihi dan dikasihi inikan pula merungkai maksud cinta. Sifatnya yang rendah diri tidak memberi peluang kepada anak kecil ini untuk bercinta. Melihat akan rakan sekelas yang berpasangan membuatkan hati kecil Mya terasa. Namun, dia tahu siapakah dirinya dan dia tahu dia tidak layak untuk memiliki semua itu. Segera dia buang perasaan itu. Kehidupan diteruskan dengan bahagia disamping keluarga dan rakan-rakan.

Perjalanan hidup yang ditempuhi penuh dengan suka duka. Setiap tarikan nafas hidup telah membuka mata hati yang buta akan cinta. Cinta pada manusia yang bukan keluarganya. Cinta pada seorang lelaki yang asing dalam hidupnya. Usia yang matang itu telah membuatkan Mya mula percaya pada cinta. Darah remaja yang mengalir dalam setiap uratnya telah menjadikan Mya bersedia. Terpandang pada seorang lelaki bukanlah suatu yang aneh padanya. Tetapi, apakah mustahil jika dia merasakan sesuatu yang aneh apabila terpandang kepada seorang lelaki suatu hari nanti? Kedewasaan ini telah membuka segala corak kehidupan yang tidak pernah dipandang Mya semasa kecil. Dan hati itu juga mula jatuh cinta. Matanya terpandang pada seorang insan yang bernama lelaki. Dari mata, turun ke hati. Dari hati, Mya mengenal cinta. Setiap bait kata disimpan di dalam hati sehinggakan terbayang dalam mimpi. Izudin, hanya nama itu yang terpahat dalam hati. Dan hanya nama itu yang bisa mengukirkan sejuta senyuman dibibir Mya.

Tidak tertanggung lagi apabila hati mula menampung rindu yang berat. Hujan air mata mula mengalir pabila rindu yang sarat di hati menjadikan Mya sesak untuk bernafas. "Izudin!" jerit hati kecil Mya. Setiap detik akan dihitung satu persatu agar masa akan cepat bergulir. Hanya dengan menatap wajah dan berbicara sahaja yang dapat memberi penawar kepada hati Mya yang tenat akibat barah rindu. Dalam sekelip mata, sejuta pelangi bisa terukir didada langit, seindah sinaran bintang bisa terbentang dilautan angkasa. Setiap bicara yang dicanting dari mulut Izudin akan dipahat kemas di dalam hati Mya. Hanya Izudin yang dipercayainya, hanya Izudin yang mampu menjadi penyokong setianya dan hanya untuk Izudin, Mya sanggup berkorban. "Saya cintakan awak," luahan Izudin. Mya tersenyum dan menjawab,"saya pun cintakan awak." Itulah yang selalu menjadi ungkapan yang tidak jemu diluahkan dari hati masing-masing.

Setiap detik bersama akan diabadikan di dalam hati. Setiap kenangan akan dibukukan di dalam kotak memori. Kepercayaan telah diberikan sepenuh hati. Namun hati yang suci dibunuh dengan penawar rindu sendiri. Deraian air mata darah yang setia menjadi teman tatkala diri keseorangan. Tegakah semua ini berlaku!? Jeritan hati yang tidak siapa yang bisa mendengar. Pertama kali hati dirobek hancur, dibakar hangus, dibuang jauh ke dasar api, dihiris pilu dengan selumbar. Siapakah yang bisa bertahan? Hancur hati tatkala ungkapan "Selamat Tinggal" yang diucapkan di pertemuan itu. Hanya hati yang bisa mengukir segalanya. Mungkin itu hanyalah perpisahan sementara yang perlu dihadapi. Rintangan dalam percintaan hanyalah perkara biasa. Namun, parah hati Mya kerana perpisahan yang difikirkan sementara itu dalah untuk selama-lamanya. Beberapa purnama setelah dia tidak menjalinkan hubungan cinta bersama Izudin, dia mendapat khabar serta potret yang telah membuatkan hatinya koma daripada kehidupan cinta. Sebuah undangan yang tidak dijangka telah menghancurkan segala-galanya. Kelihatan Izudin tersenyum bak sinaran mentari yang terang. Tapi, yang terukir dibibir Mya hanyalah gerhana kegelapan sejuta tahun lamanya. Kaki pantas diatur untuk meninggalkan segala mata yang setia memandang dua insan yang sedang dalam kegembiraan ibarat pinang dibelah dua.

Kini, baru Mya tahu. Perpisahan yang berlaku bukan kerana haluan yang berbeza, tapi hati yang telah beralih arah. Begitu pantas Izudin melakukan semua itu. Mengapa tidak berterus terang sahaja dengan Mya akan niat sebenarnya itu? Bersalahkah Mya membenci Izudin? Bersalahkah Mya jika dia meletakkan segala kesalahan di atas bahu Izudin? Rintihan batin hanya Tuhan sahaja yang tahu. Hati Mya tetap sepi, sepi dari segala cinta. Walaupun ada yang sudi ingin menerangi hati yang sudah luka parah, namun Mya tetap membisu. Hatinya ibarat sudah koma dari mengenali apakah itu cinta. Cintanya hanya pada Tuhan yang mengetahui segalanya dan cintanya juga hanya pada keluarga tersayang.

"Maafkan aku, cinta. Aku sudah tenat dengan apa yang telah aku lalui. Kau berdoalah agar hati ini bisa melihat, mendengar, berkata-kata dan merasa kembali nikmat cinta."


-anne alone all along-

Air Mata Seorang Wanita

Seorang anak lelaki kecil telah bertanya kepada ibunya,"Mengapa ibu menangis."
"Kerana aku seorang wanita," jawab sang ibu kepada anaknya.
"Saya tidak mengerti," kata anak itu.
Ibunya hanya memeluknya dan berkata,"Dan kau tak akan pernah mengerti."
Kemudian anak lelaki itu bertanya pula kepada ayahnya,"Mengapa ibu suka menangis tanpa alasan?"
"Semua wanita menangis tanpa alasan," hanya itu yang dapat dikatakan oleh ayahnya.
Anak lelaki kecil itu pun membesar menjadi seorang lelaki dewasa, tetapi dia masih ingin tahu mengapa wanita menangis.
Akhirnya dia terjumpa satu naskah di mana tertulis:

Allah berfirman :
"Ketika Aku menciptakan seorang wanita, ia diharuskan untuk menjadi seorang yang istimewa. Aku membuat bahunya cukup kuat untuk menampung dunia; namun, harus cukup lembut untuk memberikan kenyamanan."
"Aku memberikannya kekuatan dari dalam untuk mampu melahirkan anak dan menerima segala bantahan yang seringkali datang dari anak-anaknya."
"Aku memberinya kekerasan untuk membuatnya tetap tegar ketika orang-orang lain menyerah, dan mengasuh keluarganya dengan penderitaan dan kelelahan tanpa mengeluh."
"Aku memberinya kepekaan untuk mencintai anak-anaknya dalam setiap keadaan, bahkan ketika anaknya bersikap sangat menyakiti hatinya."
"Aku memberinya kekuatan untuk menyokong suaminya dalam keegagalannya dan melengkapi dengan tulang rusuk suaminya untuk melindungi hatinya."
"Aku memberinya kebijaksanaan untuk mengetahui bahawa seorang suami yang baik tak akan pernah menyakiti isterinya, tetapi kadang menguji kekuatannya dan ketetapan hatinya untuk berada disisi suaminya tanpa ragu."
"Dan akhirnya, Aku memberinya air mata untuk dititiskan. Ini adalah khusus miliknya untuk digunakan bilapun ia diperlukan."

Tahukah?
Kecantikan seorang wanita bukanlah dari pakaian yang dikenakannya, susuk yang ditampilkan atau bagaimana ia menyisir rambutnya.
Kecantikan seorang wanita harus dilihat dari matanya, kerana itulah pintu hatinya, tempat di mana cinta itu ada.

Monday, 23 November 2009

My Bufday



Tiada yang lebih mengembirakan hati bila dapat sambut ulang tahun kelahiran dengan orang yang tersayang. Walaupun tarikh keramat 14 November itu aku tak dapat sambut dengan family tercinta kerana dek final exam, aku still lagi boleh dapat sambut dengan orang yang tersayang (housemate, member dan dot dot dot). Terima kasih kat housemate aku dan dua orang lagi member aku kerana buat surprise birthday party untuk aku walaupun aku terpaksa telan tepung yang diorang baling kat aku. huhu. Apa yang penting, aku hargai apa yang diorang dah buat untuk aku. Now, sekali lagi aku sambut birthday aku di rumah family even dah terlewat. Terima kasih kepada buah hati abang aku yang bagi hadiah kek coklat yang sedap itu. huhu.