Senyum

Senyum
Senyum Itu Indah

Saturday, 28 November 2009

RAYA AIDIL ADHA

Sesuatu yang paling mengembirakan hati adalah apabila kita mengorbankan sesuatu yang akhirnya kita juga akan mendapat ganjarannya. Tapi, mampukah kita untuk mengorbankan sesuatu yang paling kita sayangi? Tentunya sukar untuk kita lepaskannya. Sesuatu yang kita sayangi ibarat ia adalah sebahagian daripada diri kita. Namun, pengorbanan harus dilakukan seperti mana yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. Baginda mengorbankan anaknya demi patuh kepada suruhan Allah swt. Tapi, kita? Apa yang telah kita korbankan demi Dia?

Alhamdulillah, majlis korban seekor lembu jantan telah selamat dijalankan. Usai solat Hari Raya Aidil Adha, beberapa orang kampung telah mula bertandan ke rumah. Aku yang sedari pagi sibuk di dapur menolong emak dan kakak menyediakan makanan sememangnya cukup memenatkan. Alhamdulillah, jiran-jiran datang membantu kami. Ayah pula sudah keluar semula pabila pulang ke rumah sesudah solat. Destinasinya adalah ke rumah Pak Imam, menolong melapah lembu. Abang-abang dan adik aku pula sibuk memerhatikan setiap inci-inci badan sang lembu yang akan disembelih oleh Pak Imam. Sayu dihati dan kolam air mata mula terbentuk tatkala telinga dialunkan dengan suara takbir di belakang rumah. Hati sayu bukan dek kesian dengan lembu yang akan disembelih, tapi sayu mendengar alunan takbir. Emak yang sedang mengambil serai di luar rumah juga menitiskan air mata. Sesungguhnya aku syukur dengan apa yang telah diberikan oleh-Nya. Alhamdulillah lembu tersebut tidak mendatangkan sebarang masalah. Alhamdulillah lembu itu sudah selamat disembelih. Aku melihat dari jauh orang-orang di belakang rumah sibuk melapah lembu, memotong, menimbang dan membungkus daging tersebut.

Keriuhan bukan hanya datang daripada jiran tetanggga sahaja, mak cik aku yang dari Segamat juga datang bersama familynya termasuklah 3 orang cucunya. Bak kata ayah, majlis yang berlangsung persis sebuah majlis perkahwinan. Aku hanya tersenyum sahaja. Aku pun tak tahulah siapakah di antara aku dan adik-beradik yang lain yang akan nikah dulu. Keseronokan amat dirasai semasa majlis berlangsung. Sesungguhnya aku tidak dapat melupakan kenangan yang manis ini.

"Ya Allah Ya Tuhan ku, sesungguhnya hamba-Mu ini bersyukur dengan segala kenikmatan yang telah Engkau berikan. Ampunilah hamba-Mu ini serta umat Islam yang lain. Berkatilah hidup kami di dunia dan di akhirat. Segala puji hanyalah untuk-Mu."

No comments: